Petugas kesihatan menunjukkan sukatan vaksin sebelum memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 26 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dos penggalak: Wakil rakyat boleh mohon laksana program suntikan di kawasan

SHAH ALAM, 9 DIS: Wakil rakyat yang berminat melaksana program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di kawasan masing-masing diminta membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program suntikan dos penggalak yang bermula semalam hanya dijalankan di 16 Klinik Selcare setakat ini.

“Program Selvax Booster akan turut dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu berdasarkan permintaan Ahli  Dewan Negeri seluruh Selangor.

“Maklumat lanjut berkenaan Program Selvax Booster di Dewan Undangan Negeri akan diumumkan dalam masa terdekat selepas Kerajaan Negeri memperincikan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki mengenai perancangan vaksin Covid-19 dos ketiga dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Kelmarin, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya secara terus di Klinik Selcare berdekatan.

“Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat).

Pada 30 Jun Selangor melancarkan Selvax Komuniti yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Kemudian pada 12 September Selvax bergerak dilaksanakan menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Kerajaan Negeri mengumumkan pula program Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian.


Pengarang :