Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian perlindungan lengkap (PPE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dua kes Omicron di Johor babit suami isteri pulang dari umrah

JOHOR BAHRU, 26 DIS: Johor mencatatkan dua kes Covid-19 varian Omicron terawal melibatkan pasangan suami isteri yang baru tiba dari Arab Saudi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan.

Beliau berkata dua kes Omicron yang dilaporkan semalam itu membabitkan sepasang suami isteri yang pergi menunaikan umrah pada 4 Dis lalu dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Dis.

“Ujian Saringan PCR di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan pada 16 Dis dikesan positif pada 18 Dis lepas. Sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom, dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

“Kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah dan kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenal pasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu di Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan satu kes positif Covid-19 varian Omicron di kesan di negeri itu semalam.

Beliau berkata kes merupakan wanita berusia 34 tahun bersama suaminya yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah dari 4 hingga 15 Dis lepas.

“Di KLIA, kes telah menjalani ujian PCR Covid-19 dan pulang ke Melaka menaiki van persiaran sewaan khas agen umrah. Kes juga diarahkan menjalani HSO selama tujuh hari,” katanya dalam sidang media di Wisma Persekutuan hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata keputusan ujian PCR kes disahkan positif Covid-19 pada 18 Dis dan dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit dan menjalani isolasi di rumah kerana berkategori 1, sebelum disahkan sebagai positif Covid-19 varian Omicron semalam dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Melaka bagi tujuan pemantauan rapi. Setakat ini, wanita berkenaaan dilaporkan stabil,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati sembilan kontak rapat iaitu lapan kontak rapat dari keluarga yang mana berada di Melaka dan dua orang lagi di Kuala Lumpur dan seorang kontak kasual iaitu pemandu van agen umrah.

Jelas Dr Akmal, kesemua kontak rapat diarahkan menjalani HSO selama 14 hari dan ujian PCR mendapati lima daripada mereka disahkan positif iaitu empat di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, sebanyak 49 kes baharu varian Omicron dikesan di negara ini sehingga Jumaat lepas.

Beliau dilaporkan berkata 30 kes varian Omicron adalah melibatkan warganegara Malaysia yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lalu, manakala kes selebihnya adalah ketibaan dari luar negara membabitkan United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emeriah Arab Bersatu.

-BERNAMA


Pengarang :