Pengguna 70 kawasan di Hulu Langat yang bergantung bekalan dari LRA Semenyih 2 sudah menerima air bersih sepenuhnya pada pukul 9 malam 20 Disember 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua LRA mula operasi, air bersih disalur secara berperingkat

SHAH ALAM, 20 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan LRA Sungai Langat telah memulakan operasi dan bekalan air bersih akan disalur kepada pengguna terjejas secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air bagi LRA Semenyih dijangka pulih jam 10 malam ini dan pemulihan bekalan LRA Sungai Langat akan diumumkan kelak.

“Bagi LRA Langat 2, proses pengepaman air mentah telah dimulakan. Proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.

“Manakala bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan,” tulisnya di Facebook.

Air Selangor juga berkata pengoperasian LRA Cheras Batu 11 belum dapat dipastikan kerana pihaknya perlu memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik tanpa membahayakan keselamatan kakitangan terutama melibatkan arus elektrik.

Semalam, syarikat itu memaklumkan LRA Semenyih 2 terpaksa dihenti tugas berikutan peningkatan paras air masuk ke rumah pam air mentah.

Sebanyak 70 kawasan di Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Peningkatan paras sungai akibat banjir kelmarin juga menyebabkan LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas.

LRA Sungai Langat pula hanya menjana 40 peratus bekalan daripada pengeluaran harian.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :