Pegawai Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad bercakap kepada Selangorkini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Bergerak di Pusat Khidmat Rakyat Batang kali, Hulu Selangor pada 7 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Batang Kali tawar bantuan kaca mata buat murid susah

SHAH ALAM, 17 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menawarkan bantuan cermin mata percuma mulai tahun depan kepada murid yang mempunyai masalah penglihatan.

Pegawai penyelarasnya berkata insentif tersebut menyasarkan antara 50 hingga 100 individu kurang berkemampuan terutama murid tadika yang beralih ke sekolah rendah.

Saifuddin Shafi Muhammad menjelaskan program itu menggunakan sebahagian daripada dana RM300,000 yang diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2022.

“Ia bukan program luar biasa tetapi kita merasakan insentif sebegini perlu diperhebatkan berikutan ada murid tidak mampu mendapatkan kemudahan ini sekali gus menjejaskan pembelajaran mereka.

“Jadi, kita akan cari beberapa pengusaha kaca mata tempatan yang sudi bekerjasama untuk menjayakan program bantuan ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Saifuddin berkata pihaknya akan mengerah sukarelawan, kakitangan pusat khidmat masyarakat (PKM), penghulu dan ketua kampung bagi mengenal pasti murid yang layak menerima manfaat itu.

“Keadaan geografi di Batang Kali amat besar, jadi agak sukar untuk mereka yang memerlukan tampil ke PKM, justeru pihak berkaitan akan diarah mencari golongan tersebut,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan wakil rakyat pembangkang naik kepada RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana wakil rakyat bebas yang menyokong negeri pula ditingkatkan sehingga RM500,000 manakala baki peruntukan diselaras oleh penyelaras lantikan Kerajaan Negeri.


Pengarang :