Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak melipat semula khemah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Taman Malihah setelah pusat itu dinaiki air, awal pagi 14 Januari 2021. Mangsa banjir ditempatkan di pusat itu terpaksa dipindahkan ke PPS baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sungai Tengah yang berhampiran. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Elak penyakit, KKM nasihat mangsa banjir ambil langkah keselamatan

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai yang terlibat di kawasan banjir untuk mengambil langkah keselamatan bagi mengelak penyakit berjangkit berkaitan banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di Facebook hari ini berkata selain daripada kemungkinan berlakunya peningkatan kes Covid-19, KKM juga menjangkakan berlaku peningkatan kejadian penyakit berjangkit berkaitan bencana alam itu.

Beliau turut berkongsi infografik dan langkah keselamatan secara terperinci yang boleh diambil orang ramai dalam menghadapi situasi tersebut.

Antaranya, penggunaan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan banjir lumpur bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan.

“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil air minuman dan makanan yang bersih dan tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid),” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKM menyediakan pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir.

Orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS banjir atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya.

Ujian saringan Covid-19 juga akan dilakukan kepada mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan jangkitan awal Covid-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di kawasan berkenaan, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :