SELANGOR

Empat pengedar ketum dicekup polis menyamar pembeli

KLANG, 15 DIS: Kehadiran anggota polis yang disangka sebagai pembeli membawa kepada penahanan empat lelaki yang memproses, menjual serta mengedar air ketum di sebuah rumah di sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata seorang daripada suspek juga sempat bertanya kepada anggota berkenaan berapa botol yang hendak dibeli sebelum polis bertindak memperkenalkan diri.

Cha berkata susulan itu, keempat-empat suspek berumur 30 hingga 33 tahun yang ketika itu sedang membungkus air ketum ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah sewa jenis berkembar sekitar 12.10 tengah malam hingga 2 pagi.

Katanya, serbuan hasil risikan polis itu turut menemukan sebuah stor dan tempat memproses cecair ketum di rumah tersebut selain merampas cecair disyaki ketum yang siap dibungkus berjumlah 600 liter, daun ketum 20 kilogram, cecair disyaki kodien (ubat batuk) sebanyak 583.20 liter serta peralatan memproses air ketum.

“Polis menganggarkan jumlah rampasan barangan tersebut bernilai RM12,000 dan turut disita wang tunai berjumlah RM250 disyaki hasil jualan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.

Cha berkata hasil risikan mendapati sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas itu memasarkan cecair ketum dan ubat batuk tersebut di sekitar daerah Klang.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala tempoh reman yang tamat pada hari ini, akan disambung untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Cha berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan Geng Dubuk Samun Ragut yang dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes samun dan ragut di sekitar kawasan Klang Selatan, susulan beberapa siri tangkapan terhadap empat lelaki pada 9 Dis lepas.

Penahanan ke atas semua suspek berumur 26 hingga 42 tahun itu dijalankan susulan aduan seorang lelaki berusia 55 tahun di Lorong Resak, Taman Palm Grove dekat sini yang didatangi dua lelaki dipercayai suspek menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg sandang pengadu lalu melarikan diri.

Katanya, ketua kumpulan samun tersebut yang berumur 40-an juga pernah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 namun masih melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar Klang.

“Suspek berumur 40-an itu sebelum ini diletakkan di bawah pengawasan polis di Balai Polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang akhirnya ditahan semula bersama tiga suspek pada Khamis lepas,” katanya sambil menambah kesemua suspek kini direman hingga 19 Dis.

-BERNAMA


Pengarang :