Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah (dua, kanan) menyerahkan peralatan mencegah Covid-19 kepada wakil sekolah vernakular baru-baru ini. Foto ihsan Dr G Gunarajah
ADNSELANGOR

Empat sekolah di DUN Sentosa dapat alatan cegah Covid-19

SHAH ALAM, 16 DIS: Empat sekolah vernakular di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima alat pencegahan Covid-19 sebagai persediaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Sentosa, SJKT Ladang Highlands, SJKT Ladang Batu Ampat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hin Hua.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah berkata setiap sekolah menerima 1,000 pelitup muka, 100 kit ujian kendiri serta 100 pelindung muka (face shield).

“Sumbangan untuk pelajar dan guru ini mampu mengurangkan jangkitan Covid-19. Kita cuba memudahkan urusan sekolah dalam menjaga keselamatan dan kebajikan semua warganya.

“Keperluan diserahkan kepada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) serta pengurusan sekolah. Semoga usaha ini dapat melindungi pelajar dan guru,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Gunarajah menghargai bantuan infrastruktur berjumlah RM23.2 juta yang diperuntuk Kerajaan Selangor tahun ini kepada 637 sekolah termasuk SJKT dan SJKC.

“Sumbangan ini dapat meningkatkan lagi kemudahan serta fasiliti diperlukan pelajar,” katanya.

Pada 11 Disember, Dato’ Menteri Besar memaklumkan bantuan berkenaan turut memanfaatkan sekolah menengah kebangsaan Cina, sekolah menengah persendirian, sekolah mubaligh dan sekolah agama rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bantuan sekolah tetap diteruskan meskipun negara berdepan pandemik Covid-19 bagi memperkasa sektor pendidikan negeri ini.


Pengarang :