EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap kepada media selepas meninjau proses suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Enam DUN buka pusat vaksin jayakan dos penggalak Selvax

SHAH ALAM, 14 DIS: Enam Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal membuka pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menjayakan Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster, kata EXCO kesihatan awam.

DUN terlibat Seri Kembangan, Taman Templer, Rawang, Bandar Utama, Balakong dan Tanjong Sepat.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif sebagai langkah memudahkan penduduk mengambil suntikan dos ketiga terutama di kawasan luar bandar.

“Ramai Ahli Dewan Negeri buat permohonan terutama kawasan yang majoriti penduduknya Cina. Macam Tanjung Sepat dan Taman Templer tak ada Klinik Selcare jadi perlu buat PPV. Mereka sanggup keluarkan peruntukan.

“Bagaimanapun tarikh masih belum ditentukan. Kita akan umum menerusi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat). Walaupun PPV dibuka tetap kena daftar aplikasi itu,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Dos Penggalak Langkah Lindungi Diri yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam ini.

Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster mulai 8 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.


Pengarang :