Sukarelawan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Enam pusat pemindahan di DUN Dusun Tua masih dibuka

HULU LANGAT, 23 DIS: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua masih dibuka hingga kini.

Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata pusat terbabit turut dijadikan tempat simpanan bantuan susulan ramai penduduk mulai pulang ke rumah.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Pada masa sama, kita buka tujuh pusat bantuan berskala kecil untuk memudahkan mangsa mengambil barang keperluan. Jadi mereka tidak perlu pergi jauh,” katanya.

Beliau yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di sini menambah seramai 5,700 penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah terkesan akibat bencana itu.

Sementara itu, Edry Faizal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi lokasi banjir hanya untuk mendapatkan kandungan media sosial.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 


Pengarang :