Dato’ Teng Chang Khim (kanan) mengangkat tilam untuk diagihkan kepada mangsa banjir sekitar Bandar Baru Klang pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

EXCO batal misi pelaburan ke luar negara untuk bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim membatalkan misi pelaburan ke Dubai dan Turki yang dijadualkan esok bagi meneruskan bantuan banjir di negeri ini.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya semalam, beliau memaklumkan penangguhan lawatan kerja sehingga 3 Januari depan dipersetujui Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Memandangkan cuaca yang tidak menentu dan kerja bantuan banjir masih diperlukan, Dato’ Menteri Besar bersetuju dengan permintaan saya untuk membatalkan misi pelaburan saya,” katanya.

Chang Khim yang juga wakil rakyat Bandar Baru Klang turut berterima kasih kepada orang ramai dan persatuan yang menyumbang tunai, makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh banjir.

Beliau juga mengalu-alukan orang ramai yang memerlukan alat pembersihan seperti berus dan baldi untuk mendapatkannya di Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah, Batu Klang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :