EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas taklimat situasi terkini banjir di Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

EXCO: Jawatankuasa khas mudahkan bantuan pascabanjir diagih saksama

HULU LANGAT, 23 DIS: Jawatankuasa khas pascabanjir di Hulu Langat menjadi medan komunikasi semua pihak termasuk sukarelawan bagi menyelaras dan melancarkan proses pembersihan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjelaskan usaha terbabit juga membantu proses agihan makanan dan keperluan secara saksama kepada mangsa terkesan.

“Kita faham ramai hendak bantu, jadi kita agihkan semua mengikut keperluan mangsa supaya proses lancar. Yang hendak bantu, datang jumpa kita supaya tidak berkeliaran tidak tentu arah.

“Kita mahukan komunikasi, mudah agihkan tugasan selain pastikan semua mangsa dapat bantuan,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai hari ini.

Mohd Khairuddin, yang mengetuai organisasi itu berkata penubuhan jawatankuasa dapat mengelak kesesakan di kawasan banjir hingga menjejaskan proses pembersihan.

“Bila terlalu ramai, tong RORO (Roll On Roll Off) susah hendak masuk, justeru kita minta mereka yang mahu bantu supaya sokong tindakan ini untuk mudahkan semua,” katanya.

Siang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi menyelaras pemulihan banjir di Hulu Langat.

Beliau turut mengumumkan perbelanjaan RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula daerah itu yang terjejas teruk akibat banjir.

 


Pengarang :