EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pengurusan Pusat Berdaya Wanita ditambah baik

SHAH ALAM, 6 DIS: Beberapa penambahbaikan dilaksana pengurusan Pusat Wanita Berdaya (PWB) selepas diambil alih Wanita Berdaya Selangor (WBS) Sdn Bhd pada Mei lalu.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata tambah baik itu termasuk urusan pembayaran vendor, elaun, kertas kerja dan pengurusan dokumentasi.

“Kertas kerja sebelum ini dihantar secara fizikal, kini menggunakan emel. Namun, laporan program masih perlu dihantar secara fizikal atas tuntutan peraturan kewangan.

“Pembayaran vendor dilakukan melalui invois sebelum program dijalankan manakala elaun dibayar setiap bulan tanpa perlu laporan program dan prestasi kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki mengenai penambahbaikan PWB pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Dr Siti Mariah, PWB juga menerima peruntukan maksimum RM3,200 sebulan untuk lapan program dibawah pentadbiran WBS.

“Peruntukan ini boleh diguna untuk tujuan mencetak bahan, elaun ahli jawatankuasa dan pusingan program akan datang tanpa perlu mengemukakan resit,” katanya.

PWB pada awal penubuhannya diletakkan di bawah pentadbiran Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan pejabat EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Pengurusan PWB kemudian diambil alih oleh WBS yang diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada Mei lalu.


Pengarang :