EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bercakap ketika sidang media selepas majlis pelancaran pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menggantikan kupon parkir kertas di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Permohonan lesen niaga sementara semakin berkurang

PETALING JAYA, 18 DIS: Permohonan lesen sementara peniaga kecil semakin berkurangan berikutan Selangor kini memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bagaimanapun berkata tempoh pemberian lesen itu yang sepatutnya tamat bulan ini dilanjutkan sehingga Jun tahun depan.

“Sebenarnya permintaan lesen penjaja semakin berkurangan kerana kita sudah memasuki fasa empat PPN.

“Kerajaan Negeri juga belum ada jumlah sasaran berapa banyak permohonan diterima setakat ini tetapi kita akan tetap melanjutkan enam bulan lagi bagi membantu peniaga terkesan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi SSP di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.


Pengarang :