Anggota Bomba membawa bantuan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gelombang kedua banjir: Bomba sedia lima khemah bantuan di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menempatkan lima buah khemah bantuan banjir di Daerah Hulu Langat, dekat sini, sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir di kawasan berkenaan.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menempatkan khemah berkenaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Pejabat Penghulu Batu 14, Sekolah Rendah Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Sungai Lui dan Agro Night Market Nanding di Hulu Langat.

Beliau berkata pihaknya turut menempatkan bot-bot bantuan sebagai langkah persediaan awal.

“Kami bimbang sekiranya kejadian banjir di Hulu Langat berulang semula. Oleh itu, anggota serta aset bot bomba sudah bersedia di daerah berkenaan susulan kilat dan awan mendung dilaporkan di lokasi terbabit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa paras air di Sungai Lui, Norazam berkata paras air kembali normal namun bomba sentiasa membuat pemantauan paras air di sungai berkenaan.

Semalam, di media sosial tular beberapa gambar dan rakaman video berkaitan limpahan air yang berlaku di Sungai Lui dan penduduk di lokasi berkenaan dikatakan dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlaku semula banjir.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir di Kajang, Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.35 petang tadi daripada orang awam, memaklumkan berlaku limpahan air dari kolam berhampiran menyebabkan banjir kilat di kawasan perumahan Taman Lembah Mewah dan di Jalan Semenyih, Kajang.

Beliau berkata kejadian di kedua-dua lokasi berkenaan tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan banjir telah surut sepenuhnya pada kira-kira 7 malam hari ini.

“Tiada kerosakan yang serius dilaporkan oleh anggota bomba bertugas serta tiada pemindahan penduduk dilakukan di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial beberapa video berdurasi di antara 10 hingga ke 15 saat memaparkan berlaku banjir kilat di lokaliti berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :