Sukarelawan Zainuddin Osman membantu membersihkan Sekolah Kafa dan Intergrasi yang dipenuhi lumpur akibat dilanda banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guru Kafa perinci kerosakan termasuk ratusan al-Quran wakaf kepada Jais

KUALA LANGAT, 26 DIS: Pengurusan Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Integrasi Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang akan memperincikan kerosakan dialami akibat banjir kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketua gurunya berkata perkara tersebut diminta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan diajukan kepada agensi Kerajaan Negeri itu selepas ini.

“Kita akan memperincikan kerosakan yang berlaku kepada Jais seperti diminta Dato’ Menteri Besar,” kata Abdul Rahim Mat Noh selepas menerima kunjungan Amirudin yang melakukan tinjauan pascabanjir di daerah itu hari ini.

Ketua Guru Sekolah Kafa dan Intergrasi Kampung Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Abdul Rahim Mat Noh. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata bencana banjir dialami sekolah itu minggu lalu memusnahkan hampir 500 naskah al-Quran termasuk 200 yang diwakafkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tahun ini.

“Semalam baru boleh masuk lepas air surut. Semua al-Quran rosak, basah dah tak boleh diguna.

“Bukan itu sahaja tetapi 90 peratus keperluan belajar musnah. Kerusi, meja, komputer semua rosak. Namun bernasib baik sebab bukan berlaku ketika sesi persekolahan,” katanya.

Menceritakan kejadian bah itu, Abdul Rahim berkata air mula naik sehingga mencecah ke paras bumbung pada Sabtu malam akibat limpahan Sungai Langat 2.

Lebih malang semua guru serta lebih 1,000 pelajar hanya dapat masuk ke kawasan sekolah selepas seminggu kerana air tidak surut.

“Dalam tempoh itu saya memang gelisah. Tiap saat nak tahu macam mana keadaan sekolah. Jalan pun tutup sebab air naik.

“Bagaimanapun kami terima ujian ini. Hari ini baru dapat bersihkan sekolah dengan bantuan beberapa pihak lain,” katanya.


Pengarang :