Exco Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bergambar bersama peserta Halal Suri ketika Majlis Pelancaran Inisiatif Halal Suri Darul Ehsan di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Halal Suri bantu wanita cari rezeki jual makanan sejuk beku

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) bagi membantu suri rumah menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

EXCO industri halal berkata seramai 56 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek rintis dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan setiap peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000.

“Manakala untuk permulaan modal perniagaan, mereka perlu melabur RM2,000 bagi membeli barangan sejuk beku halal daripada Kohijrah untuk dijual.

“Inisiatif ini dapat merancakkan produk makanan halal di samping meningkatkan ekonomi wanita sama ada berkahwin, balu mahupun ibu tunggal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya selepas melancarkan program itu hari ini.

Mohd Zawawi turut bercadang menambah jumlah peserta di setiap Dewan Undangan Negeri tahun depan bagi memperluas jualan produk halal selain membantu rakyat meraih pendapatan.

“Hampir 4,000 produk makanan diusahakan penduduk Selangor yang dipasarkan Kohijrah dan kita berharap ia dapat dikembangkan termasuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain Halal Suri, inisiatif pemberdayaan wanita oleh Kerajaan Selangor turut membabitkan program Hasil Suri Selangor yang memasarkan produk usahawan kecil untuk dikomersialkan.


Pengarang :