Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian calitan ke dalam bekas ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 1,000 pelajar di Cyberjaya disaring, 139 dirujuk ke PKRC

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 946 pelajar, guru dan petugas Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sepang disaring sejak semalam susulan penularan kluster Covid-19 di situ.

Daripada jumlah itu, seramai 139 orang dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), kata pengarah kesihatan negeri.

Dato’ Dr Sha’ri Ngadiman menjelaskan kontak rapat Kluster Persiaran Tasik itu ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan dengan semua pesakit tidak bergejala serta stabil.

“Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan sekolah bekerjasama rapat menangani kluster ini. Sebarang maklumat terkini dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes indeks melibatkan seorang guru yang dikesan bergejala pada 22 November dan disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

Dr Sha’ri menjelaskan saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang guru dengan kluster tersebut diumumkan pada 29 November.

“Kesemua pelajar dirujuk ke PKRC Maeps manakala kedua-dua guru menjalani pengasingan di rumah,” katanya lagi.


Pengarang :