Sebanyak 152 gerai pameran terlibat dalam Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 10,000 kunjungi Pesta Buku Selangor selepas ditutup pada Rabu

SHAH ALAM, 11 DIS: Hampir 10,000 pengunjung hadir ke Pesta Buku Selangor 2021 dalam tempoh tiga hari selepas ditutup sehari Rabu lalu.

Pengarah program Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata secara anggaran seramai 2,000 pengunjung hadir pada hari biasa dan mencecah 8,000 pada hari minggu.

“Hari ini pengunjung mulai ramai pada jam 11 pagi memandangkan ini adalah hari kedua terakhir dan pastinya aspek tatacara operasi piawai (SOP) amat dititik beratkan.

“Kita mempunyai sistem yang mengetahui bilangan pengunjung dan menerusi sistem itu kita menghadkan jumlah 2,000 pengunjung dalam satu-satu masa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pada 8 Disember, Pesta Buku Selangor 2021 ditutup sementara bagi menjalankan kerja sanitasi bagi memenuhi pematuhan standard kesihatan mencegah penularan Covid-19.

Petugas PPAS Abdullah Majid mengangkat papan amaran penjarakan fizikal dua meter bagi memastikan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohamed Fadzli berkata seramai 30 petugas diberi peranan dalam memastikan pengunjung sentiasa mematuhi SOP khususnya ketika membeli buku.

“Mereka ini membawa papan amaran bertulis jaga jarak fizikal dua meter di setiap ruang di dalam dewan kerana dalam keadaan sibuk membeli mungkin ada yang terlupa jadi kita ingatkan,” katanya.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :