Penduduk meredah air banjir berikutan hujan lebat sejak semalam dan menenggelamkan beberapa buah rumah di sekitar Kampung Nelayan, Telok Gong di Pelabuhan Klang, ketika tinjauan pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Hampir 3,000 anggota pelbagai agensi digerak bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga di Selangor ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 10.45 malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 2,817 anggota, 453 aset kenderaan dan logistik pelbagai agensi turut digerakkan membantu mangsa banjir.

“Di Selangor sedikit kelam kabut kerana berlaku secara mengejut, biasanya jarang berlaku banjir di Selangor ketika musim tengkujuh.

“Meskipun datang (banjir) mengejut seolah-olah banjir kilat namun kita sentiasa bersedia, untuk membuka PPS” katanya dalam sidang media malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata sebanyak 5,731 buah PPS tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,628,512 mangsa.

“Terdapat 521 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat tersedia di seluruh negara membekalkan barangan keperluan mangsa di PPS.

“Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Arahan Bencana Negara ditalian 03 80642400,” katanya.


Pengarang :