Kanak-kanak kelihatan gembira setelah menerima hadiah pada program Dun Sentosa’s Kids Wish Come True di Pusat Pembangunan Komuniti Taman Sentosa, Klang pada 16 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hasrat kanak-kanak perempuan OKU miliki papan selaju tertunai

KLANG, 17 DIS: Hasrat seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran untuk memiliki papan selaju (skateboard) akhirnya tertunai apabila menerima alatan sukan itu semalam.

Nor Aina Muklisya Nor Azli, 9, yang menghidap disleksia mendapat bantuan itu melalui program ‘Kids Wishlist Come True’ anjuran pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dengan kerjasama syarikat Concentrix.

Ibunya Wan Nurul Akhma Wan Ghazali, 36, berkata anak bongsu daripada dua beradik yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya di sini sudah lama memendam impian memiliki alat sukan tersebut, namun tidak mampu membeli sendiri berikutan kos mahal.

“Selepas YB (Dr G Gunarajah) maklumkan mengenai inisiatif ini, saya segera buat permohonan kerana dia (Aina) sering minta saya belikan walaupun kurang sesuai untuk orang perempuan, apatah lagi kurang upaya.

“Mungkin dia teringin main sebab selalu tengok di YouTube. Saya harap dia seronok dan sekurang-kurangnya tidak bosan kalau duduk di rumah. Saya amat berterima kasih kepada YB yang sudi menunaikan hajat anak saya,” katanya.

Sementara itu, P Thevarani, 39, gembira kerana E Pravien, 9, tidak perlu memakai kasut sekolah untuk bermain bola sepak selepas ini apabila menerima kasut bola jenama Reebok yang diidamkan sekian lama.

Ibu tunggal itu mengakui sukar untuk memenuhi kemahuan anak kedua dari tiga beradik kerana pendapatannya sebagai pembuat kuih sekadar cukup untuk menyara makan dan minum keluarga.

“Kadang-kadang kasihan melihat anak saya yang hanya memakai kasut sekolah bermain bola sepak waktu petang. Saya cuba kumpul wang juga untuk beli sendiri tetapi belum mampu kerana banyak benda lebih penting perlu diselesaikan,” katanya.

E Pravien Nairi, 9, (dua kiri) dan Nor Aina Muklisya Nor Azli, 9, (dua kanan) gembira setelah menerima hadiah pada program Dun Sentosa’s Kids Wish Come True di Pusat Pembangunan Komuniti Taman Sentosa, Klang pada 16 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :