AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hijrah tawar biaya patuh syariah, caj pinjam rendah

SHAH ALAM, 16 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pinjaman pembiayaan patuh syariah kepada usahawan bermula 1 Januari depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Normaiza Yahya berkata inisiatif berkenaan menjadikan Selangor sebagai negeri pertama membuat tawaran terbabit.

Normaiza Yahya

Jelasnya pembiayaan berkonsep tawarruq itu memberi manfaat besar kepada peminjam antaranya tiada unsur riba, kualiti tidak diragui selain caj pinjaman rendah.

“Perkhidmatan ini memberi keyakinan dan  kepercayaan kepada usahawan. Bila patuh syariah semua proses dikaji termasuk kesesuaian kadar caj mengikut jumlah pinjaman,” katanya dalam sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal hari ini.

Program berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini turut dihadiri EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Normaiza berkata pihaknya yakin tawaran berkenaan menarik minat ramai usahawan termasuk bukan Islam.

“Bank yang mengamalkan konsep ini seperti Bank Islam contohnya turut mendapat perhatian kaum lain. Bukan hanya orang Islam sahaja.

“Konsep ini diteliti oleh Universiti Selangor melibatkan segenap aspek. Kita mahu pelaksanaannya memberi faedah,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan dilaksana dalam skim Hijrah dengan salah satunya mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.


Pengarang :