Antara jenis roti yang dijual Hafizawati Ahmad di kedainya di Kampung Sri Aman, Klang ketika ditemu bual Selangorkini pada 7 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Hikmah PKP, ibu tunggal berniaga roti raih jualan RM100,000

SHAH ALAM, 17 DIS: Suis di dinding diketik. Lampu tidak menyala, kipas tidak berfungsi. Fikiran Hafizawati Ahmad, 41, pusing memikirkan sudah tiga bulan bil elektrik tidak berbayar.

Duitnya cukup-cukup untuk bayar sewa dan beli makanan. Bergenang air mata ibu tunggal itu memikirkan nasib tiga anak. Seminggu mereka menggunakan lilin. Tidur berpanas, ulang kaji pelajaran juga sukar. Makan pula sekadar alas perut.

Tanpa pekerjaan tetap dan wang simpanan, kehidupan sangat mencabar. Mujur dalam kesempitan itu, Hafizawati berpeluang menjadi model busana muslimah. Sedikit sebanyak dapat menampung keperluan selain bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kepayahan sejak menjadi ibu tunggal pada 2008 memutikkan azam untuk berniaga. Tidak mahu anak-anak menanggung derita.

“Masa itu baru sedar pentingnya ada duit simpanan. Jadi saya nekad berniaga untuk cari duit sebab saya tak boleh tengok anak saya susah,” katanya kepada Selangorkini di Kampung Sri Aman, Klang pada 7 Disember.

Hafizawati Ahmad menyusun roti yang siap dibungkus di kedainya di Kampung Sri Aman, Klang ketika ditemu bual Selangorkini pada 7 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN

Hafizawati yang 26 tahun menetap di Selangor mula berniaga kecil-kecilan menjual kek lapis Sarawak dengan modal RM500. Namun, ketika baru bertatih dalam perniagaan, beliau ditimpa dugaan lagi. Perkahwinan kali keduanya berakhir perceraian pada 2010.

Cukup mengusutkan tetapi Hafizawati menggagahkan diri untuk fokus kepada perniagaan. Jualan kek dan roti mencecah lebih RM100,000 dalam tempoh tiga bulan ketika perayaan Aidilfitri tahun ini.

Modal RM500

Hafizawati berniaga sejak 2009 berbekal modal yang disediakan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), agensi LZS bagi membantu asnaf berniaga. Kemahiran sedia ada membolehkannya mengambil tempahan kek lapis Sarawak, kek coklat, gula hangus dan apam polkadot.

Kesungguhan beliau meyakinkan Teras untuk menghulur bantuan berbentuk ketuhar elektrik, pengadun dan peti penyejuk.

Ketika itu, pelanggannya hanya rakan, penduduk kampung dan saudara terdekat. Selepas itu, semakin banyak tempahan terutama kilang dan pejabat.

“Sebelum Covid-19, saya mampu kekalkan jualan kira-kira RM9,000 sebulan.

“Dapatlah untung bersih RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Hafizawati kemudian menambah produk kepada lebih 10 jenis roti dan tart keju. Beliau juga mengasah kemahiran membuat kek dan pengurusan perniagaan dengan menyertai kursus anjuran LZS dan Teras.

Tatkala ramai peniaga mengeluh dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, Hafizawati sebaliknya menjadikan PKP batu loncatan.

Keluhan orang ramai mengenai bekalan roti dalam pasaran yang tidak mencukupi memberikannya idea untuk mengiklankan roti jualannya menerusi hampir 30 kumpulan WhatsApp. Menguntungkan. Tidak menang tangan beliau menyiapkan tempahan. Lebih 150 bungkus roti dijual sehari.

“Pada bulan puasa tahun ini, jualan mencecah RM66,000. Dalam tiga bulan, saya dapat jual RM100,000,” katanya.

Selain menerima tempahan roti, Hafizawati Ahmad juga boleh membuat kek lapis Sarawak, kek coklat, gula hangus dan apam polkadot. Foto diambil ketika temu bual Selangorkini di kedainya di Kampung Sri Aman, Klang pada 7 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN

Lantik ejen

Hafizawati kemudian mengambil pekerja terdiri daripada anak-anak asnaf. Pada masa sama, wanita itu meluaskan pasaran dengan melantik 15 ejen di Selangor, Melaka, Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Hasil prestasi perniagaan termasuk pengeluaran meningkat, operasi perniagaan berpindah ke kedai dengan sewa bulanan RM1,200 pada Jun 2021. Beliau juga menambah peralatan kepada empat ketuhar, penyejuk, rak cermin pameran kek, peti sejuk beku dan dua mesin pengadun.

Pun begitu, dugaan tidak pernah surut. Hafizawati dijangkiti Covid-19 pada Oktober. Pendapatannya hilang selama sebulan. Namun, kali ini beliau lebih bersedia.

“Dalam sebulan, jualan kosong. Nasib baik kali ini ada duit simpanan untuk keperluan keluarga dan perniagaan,” katanya sebelum kembali berniaga.

Menginsafi pengalaman lalu, Hafizawati turut membantu golongan memerlukan baik orang miskin, ibu tunggal mahupun orang kelainan upaya menerusi program bakul makanan.


Pengarang :