Penduduk meredah banjir berikutan hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di sekitar Kampung Jalan Kebun Seksyen 30, Kampung Johan Setia dan Jalan Sungai Kandis pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hujan berterusan hingga esok, MB nasihat penduduk waspada

SHAH ALAM, 18 DIS: Dato’ Menteri Besar menasihatkan orang ramai terus berwaspada susulan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan berterusan di negeri ini sehingga esok.

“Amaran terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan lebat akan berterusan di Selangor. Ambil langkah berwaspada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut berkongsi laporan (MetMalaysia) itu.

Hari ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di Selangor sehingga esok yang dibimbangi bakal memburukkan lagi kejadian banjir yang setakat ini melanda daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas banjir yang dipindahkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah berkenaan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan seramai 1,521 orang daripada 140 keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di 33 PPS di tiga daerah sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa mungkin lebih tinggi daripada angka itu kerana ada PPS belum mengemaskini statistik itu dalam data berkenaan.

Seramai 1,098 manga dipindahkan ke pusat pemindahan di Klang manakala 423 di Kuala Langat.


Pengarang :