Selangorkini
Penduduk meredah banjir berikutan hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di sekitar Kampung Jalan Kebun Seksyen 30, Kampung Johan Setia & Jalan Sungai Kandis hari ini. Foto Facebook Bernama
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hujan lebat 24 jam samai taburan purata sebulan, terjadi 100 tahun sekali

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Hujan lebat yang berterusan dalam tempoh 24 jam sejak lewat malam Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan dan ia umpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata fenomena berkenaan terjadi susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika terbentuk di Laut Cina Selatan yang dikesan pada 12 Dis lepas oleh Jabatan Meteorologi.

Pada 16 Dis, katanya sistem itu telah memasuki Pahang dan bergerak merentasi kawasan barat Semenanjung Malaysia dan menyebabkan peningkatan kelembapan sehingga mengakibatkan hujan lebat berterusan di hampir semua negeri di Semenanjung.

“Ini merupakan kelainan, kerana kebiasaannya pada musim tengkujuh hanya negeri di Pantai Timur akan mengalami hujan lebat, tetapi kini seluruh Semenanjung terutama di pantai timur tengah dan utara Semenanjung turut mengalami hujan lebat berterusan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, purata taburan hujan sebulan di Lembah Klang ialah 200 milimeter (mm), namun semalam sahaja purata taburan hujan tinggi direkodkan di stesen Sentul iaitu sebanyak 363 mm, Gombak 247 mm, Jinjang 258 mm dan Sungai Bonus Jalan Tun Razak 273 mm.

“Taburan hujan setahun di Kuala Lumpur ialah 2,400 mm dan ini bermakna taburan hujan semalam melebihi jumlah taburan hujan untuk sebulan, ini adalah sesuatu di luar jangkakan dan hanya berlaku dalam 100 tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata keadaan hujan lebat yang melanda sejak Jumaat lepas diramal telah berakhir berikutan sistem cuaca tekanan rendah yang berada di Selat Melaka mula bergerak menjauhi negara dan menuju ke Laut Andaman.

“Berdasarkan analisis model cuaca terkini taburan hujan akan berkurangan hari ini dan bagaimanapun masih terdapat kawasan yang alami cuaca lembab sepanjang hari. Berdasarkan analisis tersebut tiada amaran hujan lebat berterusan di Lembah Klang pada petang ini,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

– BERNAMA


Pengarang :