Selangorkini
Calon-calon bagi DUN Semop dilihat sedang menunggu di luar dewan bagi proses penamaan calon yang dijangka bermula jam 9 pagi ini di pusat penamaan calon DUN Semop di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 6 Dis 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat iringi proses penamaan calon dua DUN PRN Sarawak

LAWAS, 6 DIS: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi sehingga awal pagi ini di Lawas menjadi ‘ujian’ pertama bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 melibatkan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’Kelalan.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi. Bagi DUN Bukit Sari, proses penamaan calon akan berlangsung di Majlis Daerah Lawas, manakala bagi DUN Ba’kelalan dilaksanakan di bangunan lama Majlis Daerah Lawas, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada Majlis Daerah Lawas.

Setakat jam 8 pagi, hujan gerimis, keadaan dingin dan kabus menyelubungi beberapa kawasan di Pekan Lawas.

Di Majlis Daerah Lawas, petugas media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama anggota keselamatan dan kesihatan juga mula berada di situ seawal jam 7 pagi, dua jam sebelum proses penamaan calon bermula.

Terdapat khemah khas disediakan bagi individu yang didapati bergejala selain semua langkah mencegah penularan Covid-19 dilaksanakan dengan ketat berdasarkan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

DUN Bukit Sari dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru termasuk penyandang dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) iaitu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Sementara itu, DUN Ba’Kelalan diramalkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan penyandang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Dis dan hari mengundi pula pada 18 Dis.

-BERNAMA


Pengarang :