Kabinet setuju memberi subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun ini bagi menstabilkan kembali bekalan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Import ayam beku bersifat sementara stabilkan harga peringkat runcit

PUTRAJAYA, 10 DIS: Tindakan membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara adalah bersifat sementara untuk menstabilkan harga di peringkat runcit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Terdapat banyak permintaan daripada bekalan. Sebab itu kita bawa masuk bekalan dan harap di peringkat runcit akan menurun (harga) kerana ada persaingan lebih banyak bekalan ayam,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah Malaysia Excellence Business (MEBA 2021) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keputusan kerajaan membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah kepada pengguna.

Nanta berkata kerajaan telah berusaha untuk mengawal harga ayam melalui harga maksimum di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung kecuali Langkawi.

– BERNAMA


Pengarang :