Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris Foto ARKIB SELANGORKINI
AGAMAEKONOMINASIONAL

Invest Selangor kekal yakin dengan prospek ekonomi 2022

SHAH ALAM, 1 DIS: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor kekal optimistik tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi negeri untuk 2022.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata ini kerana Covid-19 telah membawa banyak cabaran baharu khususnya kepada rantaian bekalan kebanyakan industri.

“Bekalan terhad bahan mentah, alat ganti dan komponen terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik telah menghalang penghantaran tempahan baharu banyak barangan elektronik di seluruh dunia.

“Bagaimanapun kami kekal positif tetapi berhati-hati dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi 2022,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hasan Azhari berkata Selangor adalah penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang secara purata 24 peratus setahun.

Justeru, kata beliau pertumbuhan ekonomi negeri memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tahun lepas, negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan sebanyak 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.6 peratus disebabkan oleh pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

Hasan Azhari berkata meskipun di sebalik situasi pandemik bermula pada awal 2020, Selangor berjaya memperoleh tempat teratas sebagai destinasi pelaburan terbaik Malaysia untuk sektor pembuatan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM18.4 bilion tahun lepas.

“Untuk 2021, sasaran awal kami untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan pembuatan ialah RM12 bilion.

“Bagaimanapun, kami telah menilai semula (sasaran) ini kerana ketidakpastian pandemik, penyebaran varian baharu dan sekatan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi serta perjalanan telah banyak menjejaskan. rancangan kami untuk 2021.

“Kami berharap keadaan akan semakin baik pada tahun 2022 dan kami akan dapat merancang aktiviti penglibatan dan promosi kami dengan lebih baik,” kata Hasan Azhari.

Baru-baru ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor merekodkan nilai pelaburan lebih tinggi sebanyak RM4.64 bilion dari Januari hingga Jun 2021 berbanding RM3.39 bilion pada separuh pertama 2020.

Jumlah projek pembuatan yang diluluskan  pula sebanyak 122, sama seperti tahun lepas.

Amirudin berkata, sebanyak 9,179 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini manakala pelaburan tempatan dan asing masing-masing meningkat kepada RM4.06 bilion dan RM576.98 juta.

Jumlah itu meningkat berbanding 5,001 pekerjaan diwujudkan, RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing pada separuh pertama 2020 .

– BERNAMA

 

 


Pengarang :