Jakim mengumumkan bayaran elaun penuh kepada guru Kafa yang mengambil cuti bersalin mulai 1 Januari lalu.
AGENSISELANGOR

Jais tangguh buka sekolah ke 10 Januari 2022

SHAH ALAM, 29 DIS: Sesi persekolahan bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi penggal tiga 2021/2022 yang dijadual pada 3 Januari ditunda kepada 10 Januari depan.

Bagaimanapun, pengarahnya berkata sekolah yang terjejas banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) boleh dipertimbang untuk menangguhkan sesi dengan kelulusan jabatan.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan tarikh operasi sekolah menengah tinggi dan maahad integrasi tahfiz Selangor turut dipinda dari 15 kepada 29 Januari 2022.

“Manakala peperiksaan Sijil Menengah Agama, Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah dikekalkan pada 17 Januari 2022.

“Kerja kursus/folio (tilawah) dan ujian syafawi untuk ketiga-tiga peperiksaan ini pada 10 Januari hingga 11 Februari dipinda kepada 17 Januari hingga 18 Februari,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Shahzihan menambah keputusan itu selaras Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dalam keadaan kondusif dan selamat.

Pada 24 Disember, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 2 Januari ditangguhkan seminggu susulan banjir.

Beliau berkata sekolah bermula pada 9 Januari bagi negeri kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 10 Januari bagi negeri kumpulan B.

 


Pengarang :