Selangorkini
Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
PENDAPAT RENCANA

Jangan pandang remeh masalah tumbesaran remaja – pakar

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Mungkin ada ibu bapa yang mendapati anak remaja mereka lebih kecil atau rendah berbanding rakan sebaya. Jangan pandang remeh perkara itu kerana si anak mungkin mengalami masalah pertumbuhan linear yang boleh menyebabkan isu lebih besar iaitu pembantutan.

Walaupun kadar pembantutan dalam kalangan remaja Malaysia secara relatifnya rendah, langkah-langkah menangani harus diambil kerana hingga kini isu mengoptimumkan pertumbuhan anak masih belum diberi perhatian serius, kata pakar.

“Isu (kadar pembantutan) membimbangkan kerana tempoh remaja adalah peluang terakhir kita untuk memanfaatkan ‘tempoh lonjakan tumbesaran’,“ kata Dr Thiyagar Nadarajaw, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah ketika dihubungi Bernama.

Jelas beliau, pembantutan tidak hanya melibatkan ketinggian tetapi turut mencerminkan masalah lain dalam perkembangan si anak yang memerlukan pemantauan lebih rapi ibu bapa dan pengamal penjagaan kesihatan.

Katanya, memandangkan tempoh tumbesaran kanak-kanak adalah singkat – lazimnya dalam lingkungan usia 10 hingga 15 tahun – amat penting untuk ibu bapa dan pengamal penjagaan kesihatan berganding bahu menangani masalah pembantutan sebelum terlewat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan pembantutan sebagai tumbesaran dan perkembangan terjejas yang dialami kanak-kanak akibat masalah pemakanan, jangkitan berulang dan rangsangan psikososial tidak mencukupi.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 menunjukkan kadar pembantutan remaja Malaysia pada 8.5 peratus atau satu daripada setiap 12 orang dalam kalangan berusia 10 hingga 17 tahun. Mereka juga didapati antara 6.0 dan 7.0 sentimeter (cm) lebih rendah berbanding rujukan ketinggian standard WHO.

Kajian terbaharu Kementerian Kesihatan mendapati ketinggian purata bagi remaja perempuan berusia 15 tahun ialah 155 cm sementara lelaki pula 162 cm – masih dalam lingkungan ketinggian normal.

Malnutrisi antara punca

Dr Thiyagar menjelaskan pembantutan dalam kalangan remaja amnya disebabkan oleh malnutrisi, iaitu kadar nutrien utama untuk tumbesaran yang diambil tidak mencukupi, sepertimana Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) Malaysia.

Katanya, turut memeranjatkan ialah data NHMS 2017 merekodkan 89.4 peratus anak remaja tidak mencapai RNI dari segi pengambilan kalsium, zat yang amat penting bagi pembentukan tulang mereka. Ini akan menjejaskan keupayaan tubuh untuk mencapai ketinggian optimum individu seiring pergerakan masa.

Data sama juga menunjukkan 70 peratus remaja Malaysia – sama ada pada kebanyakan masa atau sudah terbiasa – tidak bersarapan, yang mana kata Dr Thiyagar bukan cara terbaik untuk memulakan hari mereka.

“Dianggap sebagai hidangan paling penting setiap hari, pengambilan sarapan berzat tinggi boleh menambah baik fungsi otak, mengawal berat badan dan memberikan tenaga yang mencukupi untuk anak-anak melakukan aktiviti pada hari itu,” katanya.

Menurutnya, antara sebab remaja tidak mengambil sarapan ialah terlambat bangun kerana berjaga hingga lewat malam bagi menyiapkan tugasan sekolah dan perlu bergegas ke kelas pada sebelah pagi.

Ada faktor-faktor lain yang jika diabaikan boleh membawa kepada pembantutan dalam kalangan remaja, antaranya ialah tabiat tidur yang tidak baik.

Jelas Dr Thiyagar, remaja mempunyai ritma sirkadian teranjak yang membuatkan mereka lewat tidur.

(Ritma sikardian adalah kitaran 24 jam yang merupakan sebahagian daripada jam biologi tubuh)

“Disebabkan hormon tumbesaran lazimnya dibebaskan ketika tidur, tabiat tidur yang tidak baik boleh menjejaskan tumbesaran sekiranya mereka tidak mendapat waktu tidur yang mencukupi, iaitu lapan hingga 10 jam setiap hari,” jelas pakar perunding pediatrik dan perubatan remaja itu.

Risiko akibat pembantutan

Dr Thiyagar berkata kesan pembantutan dikaji sejak sekian lama, dan antara impaknya ialah boleh menjejaskan perkembangan otak dan fungsi imuniti, selain meningkatkan risiko menghidap penyakit kronik pada usia dewasa.

Contohnya, kekurangan pengambilan kalsium ketika remaja boleh menjejaskan kualiti tulang, menyebabkan masalah osteoporosis berlaku lebih awal pada kemudian hari, katanya.

“Kanak-kanak yang tumbesarannya terbantut juga didapati menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan di sekolah,” tambah beliau lagi.

Dr Thiyagar juga menegaskan usia awal remaja – 10 hingga 15 tahun – adalah tempoh terbaik untuk kanak-kanak membesar. Sepanjang tempoh ini, mereka mesti diberikan nutrien yang mencukupi dan disokong oleh faktor tumbesaran lain termasuk tabiat tidur yang baik dan aktiviti fizikal.

“Tempoh ‘lonjakan tumbesaran’ yang dialami remaja pada peringkat usia itu biasanya dianggap sebagai golden growth window (tempoh kritikal tumbesaran).

“Sepanjang tempoh itu, mereka bukan sahaja melalui tumbesaran yang pantas, tetapi, dengan intervensi nutrisi yang tepat, kanak-kanak yang mengalami tumbesaran terencat juga boleh mencapai pembesaran dan ketinggian optimum sebelum plat pertumbuhan mereka tertutup,” jelas beliau.

Bagaimanapun katanya ibu bapa perlu ingat bahawa tempoh ‘lonjakan tumbesaran’ itu hanya dialami sebelum si anak mencecah usia akhir remaja.

Contohnya, remaja perempuan yang akil baligh awal mungkin berhenti membesar seawal usia 14 atau 15 tahun, sementara budak lelaki pula sekitar usia 15 atau 16 tahun. Pada tempoh ini, remaja berpeluang mencapai hingga 90 peratus ketinggian mereka apabila dewasa dan 45 peratus jisim tulang dewasa mereka.

“Justeru, rahsia tumbesaran remaja ialah menerima kesemua faktor penyumbang yang diperlukan, khususnya nutrien yang harus diberikan kepada mereka pada peringkat usia yang tepat,” tegas Dr Thiyagar.

Tambah beliau, ketika awal remaja, anak memerlukan dua atau lebih nutrien utama tumbesaran bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan mereka berbanding kanak-kanak yang lebih muda.

Ini termasuk meningkatkan pengambilan kalsium hingga 85 peratus, protein sebanyak 154 peratus dan magnesium pula 200 peratus.

Dr Thiyagar turut menyarankan mereka minum susu yang kaya dengan kasium, fosforus dan vitamin D sekurang-kurangnya dua gelas sehari.

Susu juga sumber protein yang diperlukan untuk membina otot, tisu dan pengeluaran enzim serta hormon yang menyokong akil baligh, jelas beliau.

Bagaimanapun kata Dr Thiyagar, jika pertumbuhan si anak masih tidak menunjukkan perubahan atau kekal mendatar selepas menerima pemakanan yang seimbang, mungkin si anak ada masalah kesihatan yang perlu dirujuk kepada pakar perubatan.

“Apabila pengambilan makanan berzat secara tetap masih tidak dapat memenuhi keperluan nutrien untuk tumbesaran anak, ibu bapa perlu mendapatkan pandangan pakar pediatrik selain menimbang pemberian suplemen bagi membantu meningkatkan pengambilan zat makanan,” katanya.

Dapatkan kaunseling pakar

Sementara itu, Pengerusi Program IMFeD untuk Tumbesaran Prof Dr Lee Way Seah menasihati ibu bapa agar memanfaatkan khidmat kaunseling yang boleh diakses melalui jaringan klinik pakar IMFeD di seluruh negara.

Dr Lee yang juga perunding pediatrik, berkata Program IMFeD untuk Tumbesaran dilancarkan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia pada 2012 sebagai platform kerjasama yang menghimpunkan pakar pediatrik dan ibu bapa untuk membantu kanak-kanak di Malaysia membesar dengan lebih baik.

Platform itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya memantau pertumbuhan anak serta intervensi awal bagi yang didiagnosis dengan isu tumbesaran, termasuk yang berkaitan dengan gangguan pemakanan.

“Melalui kaunseling, ibu bapa boleh belajar tentang kaedah dan pendekatan intervensi yang lebih baik bagi membantu anak mereka membesar, selain membantu ibu bapa berinteraksi tentang makanan, penyediaan makanan dan saiz hidangan dengan anak mereka.

“Kaunseling juga menyediakan garis panduan tentang gaya hidup, tabiat serta kelakuan yang amat penting dalam memastikan tumbesaran yang sihat dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 200 klinik kanak-kanak dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara yang menawarkan khidmat kaunseling, dan senarai klinik boleh didapati menerusi https://clinics.imfed.my/.

– BERNAMA


Pengarang :