EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan sempena sidang Dewan Negeri Selangor pada 1 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jawatankuasa khas bantu pengusaha inap desa dapat kebenaran merancang

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu pengusaha inap desa yang belum mendapat kebenaran merancang di premis mereka.

Tindakan itu susulan banyak inap desa beroperasi tanpa kebenaran di kawasan sungai dan tidak diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO Pelancongan Hee Loy Sian.

“Pejabat tanah dan daerah serta Tourism Selangor akan berbincang bagaimana untuk selesaikan isu ini supaya mereka dapat balik kebenaran merancang dengan syarat tertentu.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu kelangsungan perniagaan mereka sekali gus mempromosi pelancongan inap desa,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias berhubung bentuk galakan kepada pengusaha inap desa bagi meningkatkan daya saing.

Loy Sian menambah Kerajaan Negeri sedang berusaha mempromosikan beberapa kawasan ekopelancongan bagi menggalakkan pelaburan swasta sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, terdapat syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM100 juta untuk menjadikan kawasan Taman Alam Kuala Selangor sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga meluluskan cadangan itu secara dasar,” katanya menambah beberapa lokasi lain turut dicadangkan seperti Pulau Ketam, Sungai Limau dan Sungai Congkak.


Pengarang :