AGENDANASIONAL

JPJ lanjut diskaun saman 80 peratus hingga hujung bulan

PUTRAJAYA, 15 DIS: Tempoh pengurangan kompaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 80 peratus yang berakhir hari ini dilanjutkan hingga 31 Dis.

JPJ menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelanjutan itu berikutan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap tawaran diskaun 80 peratus saman sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

JPJ merekodkan kutipan bayaran saman RM4,126,938 melalui 81,146 transaksi urus niaga pembayaran saman dalam tempoh 9 Dis lepas hingga semalam.

“Urus niaga melibatkan 68,953 transaksi melibatkan saluran kaunter dan Mobile JPJ manakala selebihnya iaitu 1,080 transaksi (kios) dan 11,113 transaksi (dalam talian),” menurut kenyataan itu.

JPJ menyatakan pengurangan pembayaran saman kompaun itu sah kepada semua Notis Saman JPJ yang boleh dikompaun kecuali bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap dan perbicaraan.

“Bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang disenarai hitam, mereka dikehendaki hadir sendiri ke kaunter JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum menikmati diskaun saman yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

JPJ menjelaskan kemudahan pembayaran saman itu melibatkan semua kaunter di pejabat JPJ di seluruh negara termasuk kios, Mobile JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan urusan transaksi bermula 8 pagi hingga 5 petang (termasuk hujung minggu).

Transaksi pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

-BERNAMA


Pengarang :