Sebanyak 152 gerai pameran terlibat dalam Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan pesta buku meningkat meski terikat SOP ketat

SHAH ALAM, 13 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan jualan buku meningkat berbanding penganjuran sebelum ini meskipun terikat tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata peningkatan jualan itu berdasarkan maklum balas yang diterimanya daripada pempamer.

“Kami pernah menerima pengunjung sehingga 500,000 orang bagi tempoh 11 hari …tetapi kali ini jumlahnya berkurangan kerana SOP.

“Namun yang uniknya, pempamer memaklumkan hasil jualan ada yang naik hingga 50 peratus berbanding biasa walaupun pengunjungnya tidak ramai. Sampai ada yang perlu menambah stok,” kata Datin Paduka Mastura Muhammad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :