Duta pelancongan negeri Che Puan Juliana Evans menunjukkan rantai peta Selangor pada pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 4 Disember 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Juliana Evans lancar rantai leher, perkenal Selangor di mata dunia

PETALING JAYA, 4 DIS: Pelakon Che Puan Juliana Evans hari ini melancarkan rantai leher berbentuk peta Selangor sebagai usaha membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri ini.

Duta pelancongan negeri itu berkata ide menghasilkan rantai yang mempunyai pilihan emas 24 karat dan perak itu tercetus daripada minatnya dalam pelancongan dan mahu memperkenal lagi nama Selangor di peta dunia.

“Ketika melawat California di Amerika Syarikat, saya ternampak rantai dalam bentuk daerah itu, cantik…tetapi saya fikir lebih baik ada produk sama mengingatkan orang ramai kepada Selangor dan mendorongnya melancong ke sini.

“Sebagai anak jati, saya mendapat inspirasi menghasilkan rantai leher dengan peta negeri ini,” katanya ditemui pada program pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu yang disempurnakan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian di sini hari ini.

Rantai jenama JEVANS Jewelry itu boleh dibeli pada harga RM159 secara dalam talian menerusi jevans.my dan aplikasi membeli belah Shopee.

Juliana diperkenal sebagai duta pelancongan negeri pada Disember tahun lalu.

Beliau kerap mempromosikan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ menerusi platform media sosial seperti Instagram dan Facebook.


Pengarang :