Peserta menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi Selvax Komuniti di Klinik Selcare Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jumlah klinik beri dos penggalak ditambah ikut keperluan

SHAH ALAM, 8 DIS: Jumlah klinik Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster yang bermula hari ini akan ditambah mengikut keperluan semasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini dos penggalak untuk penduduk Selangor boleh diambil secara percuma di 17 Klinik Selcare.

“Kita mulakan dengan 17 klinik ini dahulu dan cuba banyakkan dengan menambah jaringan di klinik swasta lain.

“Selvax Booster dibuka kepada individu 18 tahun ke atas tetapi tumpuan diberikan kepada golongan warga emas dan komorbid yang hadir ke klinik,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung pelaksanaan Selvax Booster.

Amirudin turut menyarankan masyarakat supaya membuat janji temu terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan mendapatkan dos penggalak.

“Keprihatinan rakyat terhadap dos penggalak kini semakin tinggi dan kita percaya ini dapat meningkatkan imunisasi yang berkurangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Semalam, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memberi sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma menerusi program Selvax Booster bermula hari ini.

Individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya secara terus di Klinik Selcare berdekatan.


Pengarang :