Penyediaan terusan dan mengepam air takungan antara langkah diambil Kerajaan Negeri pada 24 Disember 2021 supaya air banjir surut dengan cepat di Bukit Changgang. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

Kaedah terusan, penyejat atasi banjir termenung Bukit Changgang

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Banjir genang atau termenung yang berlaku di Bukit Changgang, Banting, Selangor dapat diatasi dengan menggunakan inovasi terusan dan evaporator atau penyejat.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata dua inovasi itu adalah kaedah terbaharu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

“Banjir genang di Bukit Changgang disebabkan aliran air dari sungai tidak boleh dikeluarkan ke laut yang menyebabkan ia bergenang di situ dan akhirnya melimpah ke kawasan perumahan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, selepas enam hari banjir genang akhirnya dapat diselesaikan dengan kaedah inovatif tersebut,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Musibah Banjir: Ikhtiar Mengurang Risiko?’ malam tadi.

Zaini berkata inovasi terusan bertujuan untuk mengalirkan air banjir genang ke kawasan yang boleh menakung sebelum disalurkan ke sungai berdekatan apabila air surut.

“Ia boleh dibina di kawasan lapang atau menggunakan parit sedia ada yang diperbesarkan saiz dan kedalamannya. Pam air berkapasiti besar diperlukan untuk menyedut air banjir genang ke terusan tersebut,” katanya.

Menurutnya, inovasi evaporator pula bertujuan untuk mengubah banjir genang daripada fasa air kepada fasa wap yang memerlukan pam bagi menghasilkan tekanan tinggi melalui penggunaan nozel atau muncung berongga bagi menghasilkan cecair membentuk wap air.

“Kebaikan evaporator ialah mengurangkan isi padu air banjir genang bagaimanapun kelemahannya ialah perlahan dari segi mengeringkan banjir genang berbanding kaedah terusan,” katanya.

Penggunaan dua inovasi itu menyebabkan banjir genang di Bukit Changgang surut hampir sepenuhnya yang sebelum ini menjejaskan 149 keluarga di kawasan itu.

Sehingga 6 petang semalam, katanya, sebanyak 68 keluarga telah kembali ke rumah masing-masing manakala selebihnya dalam proses membersihkan rumah.

Zaini berkata inovasi evaporator juga pernah digunakan ketika mengatasi banjir kilat di Batu Pahat, Johor pada Ogos lepas.

-BERNAMA


Pengarang :