Petugas KDEBWM membersihkan longgokan sampah pascabanjir di salah satu kawasan perumahan di Selangor pada 25 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM
AGENDANASIONAL

KDEBWM angkut hampir 3,000 tan sampah, sisa tinggalan banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Dianggarkan sebanyak 2,800 hingga 3,000 tan sampah pukal pascabanjir dikeluarkan KDEB Waste Management (KDEBWM) dari seluruh kawasan terjejas di Selangor hari ini.

Pengarah urusannya berkata sisa tinggalan bencana paling banyak adalah dari kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ramli Mohd Tahir menjelaskan sebanyak 500 unit lori Roll On Roll Off (RoRo) termasuk lori panjang seberat 10 dan 40 tan digerakkan bagi mempercepat proses pengeluaran sampah dari kawasan terbabit.

“Saya lihat penduduk sudah mula mengeluarkan sampah sedikit demi sedikit selepas dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing dari pusat pemindahan sementara (PPS). Malah mereka mengharapkan agar sisa tersebut dikeluarkan secepat mungkin.

“Kita faham perasaan mereka, namun berharap agar dapat bersabar kerana pelbagai kekangan perlu dihadapi. Kita akan cuba yang terbaik dalam menjalankan operasi pembersihan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah tong sampah besar dan jentera akan ditambah bagi melancarkan pembersihan.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak Ahad lalu secara berperingkat dan dijangka selesai seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :