AGENDANASIONAL

KEADILAN gesa kerajaan arah bank batal caj RM1 transaksi ATM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan disaran masuk campur dan mengarahkan institusi perbankan membatalkan rancangan mengenakan caj RM1 bagi transaksi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan perbahasan ahli parlimen di Dewan Rakyat, langkah tersebut bakal menekan rakyat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai banyak kemudahan berkenaan.

“Saya berpandangan ini adalah satu langkah yang sangat salah dan tidak disenangi rakyat. Saya bukan sahaja menerima pelbagai mesej malah turut membaca komentar warga maya yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah ini.

“Dari segi teknikalnya, seluruh negara tahu bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik (Covid-19) dan siri PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksana,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Difahamkan, bank komersial di negara ini akan mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi antara bank di mesin ATM bermula 1 Februari tahun depan.

Sebagai contoh, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya manakala CIMB menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion ke RM2.62 bilion (suka kedua 2021) berbanding RM785 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, situasi rakyat pula jauh berbeza dan pada 3 November lalu, kerajaan mengumumkan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat Covid-19.

“Setakat Oktober, dianggarkan 13.9 peratus anak muda antara 15 hingga 24 tahun menganggur manakala secara amnya terdapat 705,000 orang sedang menganggur. Dikira bersama peningkatan harga barang yang mendadak dan belum lagi dapat dikawal, jelas rakyat sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan,” katanya.

Saifuddin berkata institusi perbankan juga sering meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi lain dan berpandangan terdapat kaedah lain dapat menampung kos mengenai ATM termasuk dalam pengetahuan menteri kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) yang dahulunya seorang pegawai atasan bank komersial.

“Saya dan pimpinan KEADILAN akan terus meneliti perkembangan isu ini dan bersedia mengadakan pertemuan dengan kerajaan mahupun wakil bank demi menyampaikan suara rakyat,” kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu.


Pengarang :