Exco Kerajaan Negeri Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) meyampaikan barangan sumbangan ketika Program Bantuan Susu dan Lampin Pakai Buang kepada Golongan Penerima B40 di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Sri Aman, Puchong pada 15 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kelas jahitan lampin guna semula bantu wanita jana pendapatan

PUCHONG, 15 DIS: Wanita Berdaya Selangor (WBS) giat menganjurkan kelas jahitan lampin guna semula bagi membantu kaum hawa menjana pendapatan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif itu juga bagi membantu individu kurang berkemampuan untuk membeli lampin pakai buang.

“Inisiatif ini dilaksana bukan kerana Kerajaan Negeri kedekut duit tetapi kita memikirkan kesan jangka masa panjang iaitu untuk memastikan kelestarian alam sekitar.

“Sekiranya ada mana-mana wanita yang berminat untuk sertai kelas ini boleh memohon menerusi penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di pusat khidmat masyarakat berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima kurang berkemampuan (B40) di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Kamariah Ahmad Subki berkata inisiatif itu bukan bertujuan memonopoli mana-mana pihak sebaliknya mahu lebih ramai wanita mempunyai pendapatan sendiri.

“Mereka boleh jahit dan jual pula kepada jiran atau komuniti sekitar…sekiranya peserta ini tiada mesin jahit kita juga menyediakan pusat jahitan di PWB terpilih dan boleh menjahit di sana,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Athena Empowers yang menawarkan kemahiran menjahit lampin kanak-kanak dan dewasa serta tuala wanita.


Pengarang :