Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim bercakap ketika sidang media isu petani Sekichan di Dewan Annex, Shah Alam pada 2 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kementerian Pertanian diminta beri bantuan khas kepada 10,000 pesawah

SHAH ALAM, 2 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta memberi bantuan khas secara terus kepada 10,000 pesawah di Selangor yang terjejas hasil tuaian mereka kerana menggunakan benih padi dibekalkan kerajaan.

Wakil rakyat Sekinchan berkata jumlah 10,000 pesawah yang terjejas itu merangkumi kawasannya, Permatang dan Sabak.

“Hasil tuaian yang diperoleh pesawah merosot teruk sehingga ke lima tan berbanding sebelum ini hanya lapan hingga 10 tan.

“Selain faktor cuaca dan amalan penanaman yang tidak komprehensif, punca utama adalah benih padi yang dibekalkan oleh kementerian dan Mardi kurang berkualiti seperti MR307, 303, 297 dan CL2,” kata Ng Suee Lim pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Katanya potongan beras basah yang dikenakan sehingga lebih 20 peratus juga membebankan dan menjejaskan pendapatan di mana petani mengalami kerugian sekitar RM5,000.

“Memandangkan hasil tuaian merosot kerana benih padi kurang berkualiti, saya minta agar YB menteri menimbang bantuan khas ‘one off’ sebanyak RM2,000 disalurkan kepada petani untuk meringankan beban,” katanya.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor juga menyatakan beliau telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 29 November lalu berkaitan masalah yang dihadapi golongan pesawah ini.


Pengarang :