Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 3 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Keperluan isi rumah naik, negeri tambah nilai bantuan, bilangan penerima

SHAH ALAM, 3 DIS: Kenaikan jumlah bantuan dan pertambahan bilangan penerima inisiatif terbaharu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dibuat berikutan keperluan isi rumah selepas pandemik Covid-19 meningkat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan RM200 disediakan menerusi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) sebelum jumlah dinaikkan kepada RM300 melalui Bingkas.

Menggulung perbahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, beliau berkata bantuan itu digunakan untuk membeli barangan keperluan antaranya kopi, gula, tepung dan keperluan sekolah.

“Kerajaan Negeri tambah RM100 supaya penerima dapat tampung keperluan seperti yuran sekolah kerana selepas pandemik, kesannya sangat besar. RM200 yang kita beri sebelum ini mungkin tidak cukup,” katanya.

Amirudin juga menjelaskan bilangan penerima inisiatif Kerajaan Negeri turut diperluas kepada 30,000 berbanding 25,000 orang menerusi KISS dan KISS-IT.

Dalam Belanjawan Selangor 2022, pentadbiran negeri meluaskan capaian dan menambah baik program KISS dan KISS-IT yang dinamakan Bingkas dengan memperuntukkan RM3,600 setahun atau RM300 sebulan kepada setiap keluarga yang layak.

Kerajaan Negeri menyasarkan 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bingkas dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.

 


Pengarang :