Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cek cura daripada Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam majlis pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Kedah sumbang RM200,000, bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 27 DIS : Sebanyak RM200,000 disumbangkan kerajaan negeri Kedah menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi membantu mangsa banjir.

Menteri Besarnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sumbangan bertujuan membalas budi Selangor yang banyak membantu ketika bencana banjir lumpur di Yan akibat fenonema kepala air pada Ogos lalu.

“Nilai ini mungkin kecil jika dibandingkan dengan bencana besar melanda Selangor ketika ini tetapi kita tetap berusaha menunjukkan komitmen kebersamaan kita dengan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. Majlis itu dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya turut menghantar 500 sukarelawan termasuk jentera kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir sejak Sabtu.

“Kami berusaha sedaya upaya menyumbang aset dan tenaga kesukarelawanan turun padang bagi membantu mangsa banjir di Selangor,” katanya.

Setakat hari ini, sebanyak RM2.23 juta berjaya dikumpul menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit hasil sumbangan individu, syarikat dan kerajaan negeri.

Mereka yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref : Tabung Ikhtiar).

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan, Dato’ Menteri Besar menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.


Pengarang :