Selangorkini
Sumber Grafik Media Selangor
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri, persekutuan perlu kerjasama pulih ekonomi

SHAH ALAM, 4 DIS : Kerajaan Negeri dan persekutuan perlu bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terkesan akibat Covid-19, kata seorang pakar ekonomi.

Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata campur tangan itu perlu kerana kebanyakan sektor semakin lumpuh selepas hampir dua tahun berdepan pandemik.

“Hampir dua tahun kita berhadapan dengan situasi ini, kegagalan di pasaran yang agak ekstrem kerana tidak boleh bekalkan perkhidmatan termasuk sebahagian besar pemain pasaran, firma, syarikat termasuk peniaga turut mengalami masalah.

“Justeru, pandemik ini menuntut sektor kerajaan tampil ke depan melakukan sesuatu dan menggunakan sama ada kuasa pasaran, kuasa sektor ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO) sebagai senjata untuk bantu pulih ekonomi,” katanya.

Beliau berkata menerusi program Bual Bicara bertajuk Pandemik Desak Campur Tangan Kerajaan Dalam Pasaran? yang bersiaran secara langsung di YouTube SelangorTV malam tadi.

Dr Nungsari turut mengingatkan kerajaan menyusun strategi untuk memastikan landskap pasaran tidak merudum lagi jika pandemik berulang pada masa depan.

“Tiada ideologi di dunia yang menyatakan kerajaan tidak patut terlibat (pulih ekonomi rakyat). Namun, sejauh mana kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini? perlu ada perancangan sebaiknya,” katanya.

Mengulas berhubung kenaikan harga bahan mentah kebelakangan ini, beliau menjelaskan perkara itu perlu diteliti bermula daripada proses awal pengeluaran.

“Kita perlu melihat punca kenaikan harga barang adakah kerana permintaan tinggi atau isu rantaian bekalan atau pembekal sengaja menaikkan harga, semua ini perlu diambil kira,” katanya.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.


Pengarang :