Orang ramai meredah banjir ketika tinjauan SelangorKini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri rakam ucapan takziah kematian lapan mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 DIS:  Kerajaan Selangor merakam ucapan takziah kepada semua ahli keluarga dan waris yang lemas dalam kejadian banjir luar biasa di negeri ini.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata banjir mengorbankan lapan nyawa iaitu empat orang di Shah Alam, Kajang (tiga) dan Sungai Buloh (satu), lapor Bernama.

Beliau berkata banjir itu turut menjejaskan empat balai polis bawah kontinjen Selangor serta kediaman melibatkan 3,330 anggota dan pegawai pasukan itu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula menjelaskan satu mayat lelaki ditemukan pada Sabtu manakala dua lagi mayat lelaki ditemukan di Taman Sri Muda semalam.

“Ketiga-tiga mangsa ditemukan di dalam air banjir manakala mayat seorang wanita dipercayai warga Indonesia, ditemukan di sebuah rumah di bahagian tingkat atas awal pagi semalam di taman tersebut,” katanya.

Beliau berkata dua lagi mayat lelaki ditemukan di Dengkil hari ini dan seorang mayat pemandu lori lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.


Pengarang :