Zulkifli Jamaluddin membersihkan rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh yang dilanda banjir ketika ditemui pada 21 Disember 2021. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kereta terbabas, bapa berkaki ayam dukung anak autisme redah banjir

SHAH ALAM, 21 DIS: Seorang lelaki yang membawa isteri hamil dan anak autisme cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba menyelamatkan diri dari banjir.

Namun, Zulkifli Jamaluddin, 35, gagal mengawal kenderaannya berikutan arus deras dan sukar mengagak kedudukan longkang dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Pekerja syarikat perabot itu terpaksa mendukung anak berusia 13 tahun sebelum meredah banjir bersama isteri dalam hujan lebat dengan berkaki ayam berikutan kereta mereka tersadai.

Terdahulu, Zulkifli sedang tidur di rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh di sini sebelum terdengar jeritan jiran kira-kira jam 2 petang mengenai kenaikan paras air secara mendadak.

“Saya meluru ke luar rumah, nampak air naik terlalu cepat. Kurang setengah jam melimpah masuk ke rumah.

“Saya dan isteri capai apa yang patut untuk tinggalkan rumah. Cuma sempat ambil dokumen penting. Selipar dan kasut juga hanyut,” katanya yang kemudian memandu untuk menyelamatkan ahli keluarganya.

Mereka antara penduduk Selangor yang berdepan musibah berikutan kejadian banjir  akibat hujan lebat luar biasa sejak Jumaat.

Pada 19 Disember, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak Jumaat menyamai taburan purata hujan di Lembah Klang untuk sebulan.

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan fenomena setiap 100 tahun sekali susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika di Laut Cina Selatan.


Pengarang :