AGENDANASIONAL

Kes buli: Enam pelajar MRSM digantung persekolahan, dicadang tamatkan pengajian

KUALA NERANG, 11 DIS: Enam pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli, digantung persekolahan selama dua minggu berkuat kuasa serta merta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan, pelajar terbabit yang terdiri daripada tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan. Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan.

“Empat lagi pelajar yang berada di lokasi kejadian yang didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan satu hingga tingkatan tiga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Padang Terap di sini hari ini.

Mahdzir berkata pihaknya memandang serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu, dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung kejadian seumpama itu daripada berulang.

Beliau berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan MRSM melakukan proses pengambilan pelajar yang cukup ketat, dengan mengambil kira pelbagai aspek bukan sahaja berkaitan pencapaian pelajar dalam pelajaran dan kokurikulum tetapi juga jati diri.

“Malanglah bagi MRSM yang mempunyai pelajar yang pandai, pelajar-pelajar yang dipilih, dibuat temuduga, saringan, ada tapisan untuk nak masuk ke MRSM dan kualiti pelajaran diambil kira dari segi kokurikulum, ambil kira dari segi jati diri, semua diambil kira sebagai markah untuk masuk MRSM.

“Tapi dalam banyak-banyak itu ada lagi kes yang semacam ini, saya amat kecewa sebagai menteri yang jaga MRSM, menteri KPLB. Tidak sepatutnya pelajar-pelajar ini terdedah dengan perbuatan seumpama itu,” katanya.

Ditanya mengenai siasatan polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

Semalam, polis menahan enam pelajar yang didakwa terlibat kes buli terhadap seorang pelajar lain di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial Khamis lalu.

– BERNAMA


Pengarang :