AGENDA NASIONAL

Kes pertama positif varian Omicron dikesan di Malaysia – menteri

SHAH ALAM, 3 DIS: Menteri Kesihatan memaklumkan kes pertama varian membimbangkan (VOC) Omicron dikesan di negara ini melibatkan seorang penuntut antarabangsa yang belajar di Ipoh, Perak.

Khairy Jamaluddin menjelaskan, pelajar berusia 19 tahun itu yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November menjalani ujian RT-PCR Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif Covid-19 pada 20 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuan varian Omicron pada 24 November.

Tambah Khairy hasil ujian jujukan genom mendapati sampel daripada pelajar itu disahkan varian Omicron pada 2 Disember.

Jelas beliau, pelajar tersebut menaiki bas dari KLIA ke Ipoh bagi menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan pihak universiti.

Katanya, pelajar itu meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November.

Jelas beliau, pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas lima penumpang bas termasuk pemandu.

“Mereka menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib. Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,” katanya.

Susulan penemuan varian itu, kerajaan mengambil langkah kawalan berikut:

– Pengembara dari negara berisiko tinggi akan dipakaikan peranti pengesan sepanjang kuarantin.

– Pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Langkawi perlu menjalani ujian Covid-19 tambahan pada hari ketiga dan kelima.

– Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Singapura diteruskan

– Sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara sebelum ini dikekalkan


Pengarang :