SAC Nik Ezanee Mohd Faisal ketika menyandang jawatan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Foto Facebook Polis Selangor
AGENDA NASIONAL

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dilantik sebagai juruiring PM

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik menjadi “Aide-de-Camp” (ADC) atau Juruiring kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama malam tadi.

“Benar,” katanya ketika diminta mengesahkan mengenai pelantikan Nik Ezanee.

Difahamkan pelantikan berkenaan berkuat kuasa semalam dan kekosongan jawatan Ketua JSJ akan digantikan dalam masa terdekat.

Nik Ezanee, 43, dilantik menjadi Ketua JSJ Selangor pada 12 April lepas selepas memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada 17 Feb 2020.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) di Bukit Aman pada 2016.

-BERNAMA


Pengarang :