AGENDANASIONAL

KKM: Semua kontak rapat kes pertama varian Omicron didapati negatif

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua lapan sampel ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) Covid-19 membabitkan kes indeks Omicron pertama dalam negara  negatif, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sampel ujian itu termasuk tujuh kontak rapat kepada pelajar dari Afrika Selatan yang didapati positif.

“Kesemua lapan sampel ujian RT-PCR hari ini adalah negatif iaitu kes index Omicron pertama dalam negara.

“Tujuh kes kontak rapat iaitu pemandu, pekerja universiti, tiga rakan pelajar universiti (dua Ghana dan satu India) dan dua rakan sebilik. Alhamdulillah,” katanya menerusi Twitter.

Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kes pertama varian Omicron dikesan di negara ini membabitkan penuntut antarabangsa yang belajar di Ipoh, Perak.

Beliau menjelaskan pelajar berusia 19 tahun itu yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November menjalani ujian RT-PCR Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif Covid-19 pada 20 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil ujian jujukan genom mengesahkan pelajar berkenaan positif varian Omicron pada 2 Disember

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuan varian Omicron pada 24 November.


Pengarang :