Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan penggalak ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Klinik Selcare sedia doktor wanita setiap cawangan, jaga sensitiviti pesakit

SHAH ALAM, 17 DIS: Selcare Clinic Sdn Bhd menyediakan doktor wanita di setiap kliniknya untuk memenuhi permintaan pesakit terutama wanita beragama Islam yang ingin menjaga sensitiviti dari segi penjagaan aurat.

Ketua Pemasaran dan Pembangunan Jenamanya Nurafida Zamri berkata seperti pengamal perubatan am swasta (GP) yang lain pihaknya menawarkan pelbagai jenis kemudahan rawatan termasuk khusus untuk wanita seperti pemeriksaan ibu mengandung.

Menurutnya, pihaknya memahami mungkin ada segelintir wanita keberatan menunjukkan aurat kepada doktor lelaki dan mengambil inisiatif menyediakan doktor wanita di setiap 16 kliniknya di Selangor serta Kuala Lumpur.

“Pesakit wanita boleh memohon mendapat rawatan daripada doktor wanita untuk memberi keselesaan sepanjang perkhidmatan rawatan berjalan.

“Ini usaha kita menyediakan perkhidmatan yang mematuhi konsep syariah,” katanya ketika ditemui pada Program Halal@Selangor di Ibu Pejabat Selcare Clinic Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pesakit ingin membuat janji temu dengan doktor wanita di 16 klinik Selcare boleh merujuk senarai pegawai perubatan terbabit menerusi pautan https://selcareclinic.com/our-doctors/.

Selain rawatan perubatan am, klinik Selcare juga menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin termasuk suntikan pelalian Covid-19 di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax).

Selcare Clinic adalah anak syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate).


Pengarang :