Selangorkini
Ir Izham Hashim (tengah) meninjau projek rawatan air dan pembesaran kolam prarawatan air serta kolam takungan banjir Sungai Gong pada 25 Januari 2021. Foto Facebook Ir Izham Hashim
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kolam takungan atasi banjir legakan penduduk Rawang

SHAH ALAM, 1 DIS: Pembinaan kolam takungan di Sungai Gong, Gombak bagi mengatasi isu banjir dan pencemaran  bakal melegakan kira-kira 100,000 penduduk sekitar Rawang sebaik projek berkenaan siap pada 2023.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata projek bermula tahun lepas giat dijalankan di tapak dan berterusan sehingga selesai menggunakan dana tambahan RM15 juta seperti dibentangkan dalam Belanjawan #Selangor2022.

“Projek membesarkan kolam takungan dan menambah fungsi (kolam) merupakan tindakan holistik bagi menyelesaikan masalah banjir serta pencemaran di Sungai Gong yang sebelum ini menjadi salah satu punca bekalan air terputus.

“Dengan peruntukan tambahan, saya percaya projek ini boleh berjalan lancar dan sempurna sekali gus memanfaatkan ratusan ribu penduduk disebabkan banjir kerap berlaku di lebuhraya serta jalan utama,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata walaupun projek tersebut belum siap sepenuhnya, namun perkembangan positif dapat dilihat apabila banjir tidak sekerap tahun-tahun sebelumnya.

“Rawang sememangnya sensitif dengan hujan. Jika sebelum ini hujan lebat 15 minit sahaja akan timbul isu banjir tetapi apa yang saya nampak tahun ini tiada berlaku banjir,” katanya.

Melalui Belanjawan #Selangor 2022 dibentangkan Jumaat lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM35 juta bagi dua projek kolam takungan banjir yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Sebanyak RM15 juta diperuntuk bagi projek Kolam Takungan Banjir Rawang Integrated dan RM20 juta pula bagi Kolam Takungan Banjir Kampung Budiman.

 


Pengarang :